Thursday, January 01, 2009

Soleh wa Musleh


Drifting, originally uploaded by awe2020.

Matahari pagi 1 Januari 2009 sudah memancarkan cahayanya di ufuk timur. Selangkah lagi masa berlalu dan setahun lagi berkurangnya umur ini, Aku termenung seketika melihat gelagat umat Malaysia menyambut kedatangan tahun baru 2009 dalam keadaan bersukaria.... sedangkan umat Islam Palestin dilanda bencana dan duka. Tidak ada perasaan simpatikah rakyat Malaysia ini kepada saudara-saudara Islam mereka di Palestin? Apakah sokongan kita kepada mereka hanya gimik sahaja? Atau hanya mencari sokongan politik ?

Aku buka blog Abdul Rahman .... tersentuh hatiku bila dia mencoretkan tentang kepayahan di Palestin. Kakaknya pula mengingatkan aku untuk menyumbang kepada Palestin. "Mercy nak datang.... abah derma la..." kata kakak.

Terlintas di hatiku... setelah 18 tahun aku & isteri mendidik mereka, akhirnya aku sudah melihat tarbiyyah itu membuahkan hasil. Anak-anak mula memahami kemelut ummah. Anak-anak mula menghayati perjuangan menegakkan agama Allah, dan mereka faham bahawa perjuangan itu tidak semestinya mengangkat senjata ke medan perang... tetapi berjuanglah mengikut kemampuan yang ada. Allah tidak tanya berapa banyak kita menyumbang, tetapi Allah lihat keikhlasan dan kesungguhan kita.

Aku harapkan inilah generasi baru Islam yang akan membela ummah ini di masa depan. Tidak kira apa profession mereka nanti... doktor, jurutera, akauntan, arkitek...... itu tak penting. Apa yang penting adalah mereka menjiwai perjuangan Islam. Mereka menjadi insan yang mampu membawa perubahan kepada ummah.

Mereka menterjemahkan misi untuk menjadi insan soleh wa musleh .......

Ya Allah ! Selamatkan saudara-saudara kami di Palestin
Ya Allah ! Berikanlah kemenangan kepada mujahidin di Palestin
Ya Allah ! Hancurkanlah musuh-musuh kami dan musuh-musuhmu
Amin Ya Rabbal A alamin...

Saturday, November 01, 2008

Yakin lah kepada Allah





Kehidupan dunia ini ibarat roda yang sentiasa berputar. Ada kalanya kita berada di atas dan ada kalanya kita berada di bawah. Putaran kehidupan ini adalah suatu ketentuan dari Allah untuk menguji manusia sejauh mana keimanan mereka kepada Nya. Allah telah berfirman dalam surah Al Inshirah yang bermaksud,

Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: Dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayat petunjuk)? (1) Dan Kami telah meringankan daripadamu: Bebanmu (menyiarkan Islam); (2) Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)? (3) Dan Kami telah meninggikan bagimu: Sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)? (4) Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (5) (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (6) Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), (7) Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini). (8)

Al-Inshirah 1-8


Perjalanan hidup aku juga tidak lepas dari pelbagai dugaan dan cabaran. Kesenangan yang dilalui beberapa waktu diselangi dengan sedikit kepayahan yang menjadi suatu peringatan bahawa tidak ada sesuatu pun yang kekal abadi. Kesenangan adalah satu ujian..... menguji setakat mana kita mensyukuri nikmat Allah s.w.t. Kesusahan dan kepayahan adalah ujian..... menguji setakat mana kita menerima ketentuan Allah dan menyakini akan rahmat dan kasihNya kepada hambaNya yang bertaqwa. Inilah asam garam kehidupan. Yakinlah kita kepada Allah, berdoalah kepadaNya dengan sesungguhnya serta bersyukurlah kepadaNya di atas segala nikmat dan limpah kurniaNya. Semoga Allah akan menetapkan kita di atas jalanNya serta mengampunkan dosa dan kesilapan kita yang lalu dan akan datang. Sesungguhnya setiap kesukaran disertai kemudahan. Yakinlah kepada Allah..........

Saturday, September 20, 2008

Ukhuwwah Fi Llah



Anak aku, yang kedua, Abdul Rahman, berangkat ke Mesir pada 17 September 2008 bersamaan 17 Ramadhan 1429H. Seperti kakaknya, dia juga akan melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Mesir, tetapi di universiti yang berlainan. Kakaknya di Kaherah dan dia di Iskandariah. Jaraknya lebih kurang 3 jam perjalanan dengan keretapi.
Kami sekeluarga bertolak dari rumah seawal jam 5:30pm untuk mengelakkan dari terlewat memandangkan dia perlu ada di KLIA pada jam 8 malam. Kami singgah di Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA untuk berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib. Memang sungguh seronok juga bila berbuka bersama-sama dengan keluarga di kawasan letak kereta masjid dengan hanya beralaskan tikar sahaja.
Selesai solat maghrib, kami terus sahaja ke KLIA. Di sana kawan-kawan Aman dah ramai menunggu. Memang aku tak sangka mereka sanggup datang sejauh itu untuk sama-sama menghantar Aman . Ada yang datang naik ERL dan ada yang bawa kereta sendiri.
Sememangnya aku amat kenal sekali kawan-kawan Aman. Ukhuwwah mereka ibarat isi dan kuku. Dari mereka di Tingkatan 3 lagi aku mengikuti perkembangan dan persahabatan mereka sehinggalah mereka menduduki SPM pada tahun 2007. Aku juga menyertai program perkhemahan mereka di Perlis selepas peperiksaan SPM. Sememangnya, mereka ini begitu dekat di hati aku.... umpama anak-anak aku sendiri. Sebab itulah aku begitu terharu melihat mereka beramai-ramai datang menghantar Aman, walaupun jauh, berpuasa dan waktu malam pula. Yang lebih menyentuh perasaan aku ialah apabila melihat mereka berpeluk-berpelukan sambil mengucapkan selamat jalan. Inilah satu contoh persahabatan yang sukar untuk dibentuk dan dikekalkan.
Semoga ukhuwwah yang mereka jalinkan ini akan berkekalan buat selamanya.... semuanya semata-mata untuk mencari keredhaan Allah s.w.t
UKHUWWAH WILL NEVER DIE.......

Monday, September 01, 2008

Ramadhan Mubarak 1429H

Selamat menyambut Ramadhan 1429H kepada seluruh umat Islam di serata dunia. Ramadhan datang dan pergi dan akan berterusan selama mana dunia ini wujud. Namun, kita sebagai manusia tidak dapat memberikan kepastian samada kita akan dapat bertemu dengan Ramadhan lagi selepas ini. Maka, marilah kita meningkatkan azam untuk melakukan yang terbaik di bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini.

"Ya Allah ! Jadikan Ramadhan ini yang terbaik untuk kami. Berikan kekuatan kepada kami untuk beristiqamah dalam ibadah kami kepadaMu. Jadikanlah kami dari kalangan hambaMu yang dikurniakan kerahmatan, dan keampunanMu serta dijauhkan kami dari azab api neraka"

Saturday, August 30, 2008

Merdeka ?

Tahun ini masuk tahun ke 51 Malaysia menyambut kemerdekaan dari penjajah British. Sambutan kemerdekaan akan diadakan seperti biasa... perarakan di Dataran Merdeka, pertunjukan jet-jet pejuang, kereta-kereta kebal, persembahan hiburan yang berbagai-bagai dan macam-macam lagi yang tak larat aku nak cerita. Apa yang dipaparkan adalah negara ini sebagai sebuah negara membangun dan bergerak pantas menuju kemajuan untuk mencapai wawasan 2020.
Apa yang tidak dipaparkan adalah kepincangan yang berlaku dalam masyarakat... samada di bandar atau luar bandar. Kepincangan dan kebejatan akhlak generasi muda. Kelemahan institusi-institusi kerajaan dalam menangani pelbagai masalah rakyat dan yang menyedihkan lagi kerakusan para pemimpin mengaut kekayaan melalui pangkat, kedudukan dan kuasa.
Rakyat seolah-olah diberikan ilusi tentang kemakmuran dan kesejahteraan negara, sedangkan apa yang dihadapi oleh rakyat sekarang ini amat membebankan. Harga barangan keperluan meningkat dengan mendadak mengakibatkan rakyat menjadi semakin terdesak. Tidak ada satu perancangan dan usaha yang betul-betul mantap dibentang dan dilaksanakan oleh kerajaan bagi menangani masalah ini. Setiap kali persoalan diajukan, maka harga minyak dunia dijadikan alasan. Balik-balik harga minyak. Sedang rakyat semakin terhimpit dengan segala peningkatan harga barang. Pada masa yang sama, pemimpin negara sibuk bertelagah mempertahankan kuasa dan kedudukan masing-masing. Apakah ini kemerdekaan dan kemakmuran yang rakyat mahukan? Di kampung-kampung masih ramai lagi rakyat yang hidup meminta-minta. Di bandar juga ramai yang merempat tanpa tempat tinggal.... nak kata kita sudah merdeka dan maju?
Wahai para pemimpin... ! Pergilah ke kampung-kampung. Selamilah kesusahan rakyat. Pergilah ke kawasan setinggan, alamilah keperitan mereka. Apa yang kita nampak, pemimpin bertelagah pasal kereta mewah, pasal saham dan niaga, pasal pangkat dan kuasa.
Tugas pemimpin dan kepimpinan bukan untuk mengaut kekayaan dan keuntungan. Bukan juga untuk mencari nama dan pujian.... tetapi untuk melaksanakan amanah Allah sebagai khalifah di muka bumi ini. Bila amanah ini dikhianati, maka amat beratlah persoalan kepada pemimpin seperti ini di hadapan Allah nanti.
Penghayatan kemerdekaan bukan untuk menunjuk-nunjuk kehebatan material, tetapi untuk bermuhasabah setakat mana amanah yang dipikulkan ke atas bahu para pemimpin ini dilaksanakan dengan sebaiknya. Pemimpin yan adil dan bertaqwa kepada Allah umpama cahaya lampu yang terang, menjadi penunjuk jalan kepada seluruh rakyat jelata. Pemimpin yang sesat dan zalim akan menghumbankan rakyat ke jurang neraka..... MERDEKA!!!